17 January, 2011

Tenaga Nuklear Wajar Dipertimbang, Kata Ketua TNB

15 Januari, 2011 19:19 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Banjir yang melanda Australia sekarang ini menaikkan harga arang batu dan ini mewajarkan Malaysia menimbangkan secara serius tenaga nuklear bagi menjana elektrik, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

"Disebabkan kekurangan gas dalam negara, kita mempelbagaikan penjanaan elektrik kita untuk termasuk arang batu.

"Kini dengan keadaan cuaca yang buruk di Australia dan Kalimantan, serta cuaca sejuk di hemisfera Utara, permintaan bagi arang batu tiba-tiba melonjak tetapi bekalannya terhad.

"Juga terdapat semakin banyak kilang yang menggunakan arang batu di tempat-tempat lain dan ini menjadikan kenaikan harga arang batu lebih 50 peratus dalam masa enam bulan lepas," kata beliau semasa ditemui pada karnival sukan untuk kanak-kanak anjuran TNB di sini Sabtu.

Arang batu menguasai 40 peratus sumber penjanaan tenaga TNB.

AmResearch dalam laporannya baru-baru ini berkata berkata berdasarkan harga semasa yang berlegar melebihi US$100 setan dan dengan kadar tukaran US/RM, untung bersih Tenaga bagi tahun kewangan 2011 hingga 2013, berkemungkinan susut antara 28 dan 29 peratus.

Tenaga membeli 17 peratus daripada keperluan arang batunya yang sebanyak 18 juta tan dalam tahun kewangan 2010 dari Australia, 71 peratus dari Indonesia dan 11 peratus dari Afrika Selatan, kata firma penyelidikan itu.

Arang batu menguasai 48 peratus kos bahan api Tenaga bagi tahun kewangan 2010.

"Kami menganggarkan kenaikan US$10 setan dalam kos arang batu melebihi unjuran purata kos arang batu kami, boleh mengurangkan untung bersih Tenaga bagi tahun kewangan 2011 sebanyak 18 peratus," jelasnya.

Oleh itu, Che Khalib berkata adalah tepat pada masa bagi kerajaan untuk melihat secara serius berhubung penjanaan elekrik daripada tenaga nuklear.

Beliau berkata sebagai pengeluar tenaga terbesar negara, TNB menyokong inisiatif kerajaan untuk mewujudkan Perbadanan Tenaga Nuklear, memandangkan negara kini boleh melihat kepada alternatif.

-- BERNAMA

Soalan:

  1. Dengan menggunakan rajah DD-SS, terangkan mengapakan harga arang batu melonjak ke paras yang tinggi?
  2. Pada pendapat anda bagaimanakah kos untuk menjana kuasa elektrik dapat dikurangkan?
  3. apakah yang anda jangkakan terhadap penawaran eletrik dalam jangka panjang sekiranya Malaysia menggunakan tenaga nuclear bagi menjana elektrik?
  4. Pada pendapat anda mengapakah masih terdapat pihak tertentu yang menentang rancangan kerajaan untuk menjana kuasa elektirk dengan menggunakan tenaga nuclear?
  5. Pada pendapat anda apakah faedah dan kesan luaran menggunakan tenaga nuclear untuk menjana kuasa elektrik?

No comments:

Post a Comment